"Bandingan kelebihan orang alim ke atas orang yang abid umpama bandingan kelebihan bintang purnama dimalam hari ke atas seluruh bintang di langit" (Hadis Hassan riwayat Abu Daud)


Wednesday, 8 June 2016

PUASA : Persoalan & Jawapan (Siri 13)

 Kitab Al-Ṣiyām (Suālun wa Jawābun)

Karangan asal oleh Dr. Rasheed Saad al-Alimi
Murajaah bersama Sheikh al-Muhaddis Badrun Abdullah al-Badr

Diterjemahkan oleh Abu Muhammad Khairil Izuan al-Kangsari

Perbahasan Keenam

{ORANG YANG DIWAJIBKAN BERPUASA}

58 - Siapakah yang diwajibkan berpuasa pada bulan Ramadhan?
Puasa adalah wajib ditunaikan ke atas setiap muslim, lelaki atau wanita, yang telah baligh, yang beraqal, yang berupaya (menunaikan), yang bermukim dan tiada sebarang tegahan untuk melaksanakannya.

59 - Apakah yang dimaksudkan dengan tiada sebarang tegahan?
Iaitu (tiada tegahan dari) wanita yang mengalami haid dan nifas yang tertegah daripada melaksanakan ibadah seperti solat, puasa dan ibadah-ibadah lain.

60 - Apakah ukuran adanya aqal pada manusia?
Ukurannya dapat membezakan diantara sesuatu. Apabila manusia tidak mempunyai aqal, maka dia tidak perlu berpuasa, solat dan haji.

61 - Adakah orang tua yang uzur wajib keatasnya puasa atau kaffarah?
Dia tidak wajib berpuasa dan tidak wajib memberi makan (sebagai kaffarah) kerana tidak ada taklifan terhadapnya lagi.

62 - Bagaimana terjadinya baligh?
Baligh terjadi setelah berlakunya salah satu dari 3 perkara berikut:
1. Seseorang itu mencapai umur 15 tahun.
2. Tumbuhnya bulu ari-ari iaitu disekitar qubul (kemaluan hadapan).
3. Keluarnya mani dengan rasa kelazatan, samada dengan berlakunya mimpi atau secara sedar.
Dan ditambah bagi wanita itu perkara yang ke-4 iaitu keluarnya darah haid.

bersambung


No comments:

Post a Comment