Kuliah Kitab Mastika Hadis (Hadis
Ke-2)
Firman Allah swt:
هُوَ الَّذِي
أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدى وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ
كُلِّهِ وَكَفى بِاللَّهِ شَهِيداً (28)
Maksudnya:
(Allah yang menyatakan) Dia lah yang telah mengutus RasulNya
(Muhammad, s.a.w) Dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (agama
Islam), supaya Dia memenangkannya dan meninggikannya atas segala bawaan agama yang
lain; dan cukuplah Allah menjadi saksi (tentang kebenaran apa yang dibawa oleh
RasulNya itu).
Surah al-Fath:28
Firman Allah swt ini menerangkan fungsi Rasulullah saw sebagai utusannya yang membawa petunjuk dan agama yang benar. Sebagaimana yang telah disebutkan dahulu dalam hadis pertama kitab ini, Rasulullah saw menekankan bahawa sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk baginda sendiri (wa khaira al-Hadyi, hadyu muhammad saw - Riwayat Muslim). Hadis tersebut merupakan mubayyin (penjelas) kepada firman Allah swt dalam surah al-Fath di atas. Antara fokus perbahasan dalam hadis dan firman tersebut berkisar tentang keperluan mengikut jalan petunjuk Rasulullah saw iaitu melalui hadis-hadis baginda. Justeru itu, bagi menelusuri hadis-hadis Rasulullah saw, kaedah penulisan adalah sangat signifikan untuk digunakan bagi manfaat dan pembelajaran hadis umat kemudian.
Berikut adalah sumber asal bagi Hadis ke-2 dari Kitab Mastika Hadis:
بَابٌ فِي كِتَابِ الْعِلْمِ
3646 - حَدَّثَنَا
مُسَدَّدٌ، وَأَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ، قَالَا: حَدَّثَنَا يَحْيَى، عَنْ
عُبَيْدِ اللَّهِ بْنِ الْأَخْنَسِ، عَنِ الْوَلِيدِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ
أَبِي مُغِيثٍ، عَنْ يُوسُفَ بْنِ مَاهَكَ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ
عَمْرٍو، قَالَ: كُنْتُ أَكْتُبُ كُلَّ شَيْءٍ أَسْمَعُهُ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُرِيدُ حِفْظَهُ، فَنَهَتْنِي قُرَيْشٌ وَقَالُوا: أَتَكْتُبُ
كُلَّ شَيْءٍ تَسْمَعُهُ وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
بَشَرٌ يَتَكَلَّمُ فِي الْغَضَبِ، وَالرِّضَا، فَأَمْسَكْتُ عَنِ الْكِتَابِ،
فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَوْمَأَ
بِأُصْبُعِهِ إِلَى فِيهِ، فَقَالَ: «اكْتُبْ
فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ مَا يَخْرُجُ مِنْهُ إِلَّا حَقٌّ»[1]
Maksudnya:
Daripada
Abdullah bin Umar ra, katanya: Biasanya aku menulis segala yang aku dengar
daripada Nabi Muhammad saw dengan tujuan hendak menghafaznya, lalu dilarang
oleh orang-orang Quraisy serta berkata: “ Patutkah engkau menulis segala yang
engkau dengar, sedang Rasulullah saw seorang manusia yang bercakap dalam masa
marah dan dalam masa suka?” Setelah itu aku pun berhenti dari menulis, kemudian
aku menyebut hal itu kepada Rasulullah saw, lalu baginda menunjukkan kepada
mulutnya dengan jarinya sambil bersabda: “Tulislah kerana demi tuhan yang
diriku dalam kekuasaan-Nya, tidak keluar dari mulutku ini melainkan yang
benar.”
Hadis Sahih menurut Al-Albani, Riwayat Abu Daud
Berikut pula merupakan hadis-hadis lain yang menyokong penulisan ilmu hadis:
1)
112 - حَدَّثَنَا أَبُو نُعَيْمٍ الفَضْلُ
بْنُ دُكَيْنٍ، قَالَ: حَدَّثَنَا شَيْبَانُ، عَنْ يَحْيَى، عَنْ أَبِي سَلَمَةَ،
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ: أَنَّ خُزَاعَةَ قَتَلُوا رَجُلًا مِنْ بَنِي لَيْثٍ -
عَامَ فَتْحِ مَكَّةَ - بِقَتِيلٍ مِنْهُمْ قَتَلُوهُ، فَأُخْبِرَ بِذَلِكَ
النَّبِيُّ [ص:34]
صلّى الله عليه وسلم، فَرَكِبَ رَاحِلَتَهُ فَخَطَبَ، فَقَالَ: «إِنَّ اللَّهَ
حَبَسَ عَنْ مَكَّةَ القَتْلَ، أَوِ الفِيلَ» - قَالَ أَبُو عَبْدِ اللَّهِ كَذَا،
قَالَ أَبُو نُعَيْمٍ وَاجْعَلُوهُ عَلَى الشَّكِّ الفِيلَ أَوِ القَتْلَ
وَغَيْرُهُ يَقُولُ الفِيلَ - وَسَلَّطَ عَلَيْهِمْ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالمُؤْمِنِينَ، أَلاَ وَإِنَّهَا لَمْ تَحِلَّ لِأَحَدٍ
قَبْلِي، وَلَمْ تَحِلَّ لِأَحَدٍ بَعْدِي، أَلاَ وَإِنَّهَا حَلَّتْ لِي سَاعَةً
مِنْ نَهَارٍ، أَلاَ وَإِنَّهَا سَاعَتِي هَذِهِ حَرَامٌ، لاَ يُخْتَلَى
شَوْكُهَا، وَلاَ يُعْضَدُ شَجَرُهَا، وَلاَ تُلْتَقَطُ سَاقِطَتُهَا إِلَّا
لِمُنْشِدٍ، فَمَنْ قُتِلَ فَهُوَ بِخَيْرِ النَّظَرَيْنِ: إِمَّا أَنْ يُعْقَلَ،
وَإِمَّا أَنْ يُقَادَ أَهْلُ القَتِيلِ ". فَجَاءَ رَجُلٌ مِنْ أَهْلِ
اليَمَنِ فَقَالَ: اكْتُبْ لِي يَا رَسُولَ اللَّهِ، فَقَالَ: «اكْتُبُوا لِأَبِي فُلاَنٍ» . فَقَالَ رَجُلٌ مِنْ
قُرَيْشٍ: إِلَّا الإِذْخِرَ يَا رَسُولَ اللَّهِ، فَإِنَّا نَجْعَلُهُ فِي
بُيُوتِنَا وَقُبُورِنَا؟ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
«إِلَّا الإِذْخِرَ إِلَّا الإِذْخِرَ» قَالَ أَبُو عَبْدِ اللَّهِ: يُقَالُ:
يُقَادُ بِالقَافِ فَقِيلَ لِأَبِي عَبْدِ اللَّهِ أَيُّ شَيْءٍ كَتَبَ لَهُ؟
قَالَ: كَتَبَ لَهُ هَذِهِ الخُطْبَةَ[2]
Riwayat
Bukhari
2)
113 – حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ
عَبْدِ اللَّهِ، قَالَ: حَدَّثَنَا سُفْيَانُ، قَالَ: حَدَّثَنَا عَمْرٌو، قَالَ:
أَخْبَرَنِي وَهْبُ بْنُ مُنَبِّهٍ، عَنْ أَخِيهِ، قَالَ: سَمِعْتُ أَبَا
هُرَيْرَةَ، يَقُولُ: «مَا مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ أَحَدٌ أَكْثَرَ حَدِيثًا عَنْهُ مِنِّي، إِلَّا مَا كَانَ مِنْ عَبْدِ
اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو، فَإِنَّهُ كَانَ يَكْتُبُ وَلاَ
أَكْتُبُ» تَابَعَهُ مَعْمَرٌ، عَنْ هَمَّامٍ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ[3]
Riwayat
Bukhari
3)
114 - حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ
سُلَيْمَانَ، قَالَ: حَدَّثَنِي ابْنُ وَهْبٍ، قَالَ: أَخْبَرَنِي يُونُسُ، عَنِ
ابْنِ شِهَابٍ، عَنْ عُبَيْدِ اللَّهِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ،
قَالَ: لَمَّا اشْتَدَّ بِالنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَجَعُهُ
قَالَ: «ائْتُونِي بِكِتَابٍ أَكْتُبْ لَكُمْ كِتَابًا
لاَ تَضِلُّوا بَعْدَهُ» قَالَ عُمَرُ إِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ غَلَبَهُ الوَجَعُ، وَعِنْدَنَا كِتَابُ اللَّهِ حَسْبُنَا.
فَاخْتَلَفُوا وَكَثُرَ اللَّغَطُ، قَالَ: «قُومُوا عَنِّي، وَلاَ يَنْبَغِي
عِنْدِي التَّنَازُعُ» فَخَرَجَ ابْنُ عَبَّاسٍ يَقُولُ: «إِنَّ الرَّزِيَّةَ
كُلَّ الرَّزِيَّةِ، مَا حَالَ بَيْنَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ وَبَيْنَ كِتَابِهِ»[4]
Riwayat
Bukhari
Berdasarkan
hadis kedua kitab Mastika Hadis dan beberapa hadis lain di atas, Rasulullah saw memberikan green
light terhadap kebolehan menulis hadis-hadis baginda. Bahkan baginda menggalakkan
penulisan hadis bagi menjaga maslahah umat Islam. Ini boleh dilihat
dalam peristiwa-peristiwa yang berlaku di atas seperti (hadis no. 112 - Riwayat Bukhari) ketika seorang lelaki
mendengar khutbah baginda dan meminta seseorang menuliskan untuknya, lalu Rasulullah saw pun meminta seorang
sahabat yang lain menuliskan untuknya.
Walau bagaimanapun, penulisan hadis-hadis baginda Rasulullah saw menjadi isu yang dipolemikkan, terutama bagi golongan ahli kalam pada satu masa dahulu dan golongan anti hadis pada masa kini. Mereka mendakwa bahawa hadis-hadis mengenai Penulisan Hadis Rasulullah saw saling bertentangan antara satu sama lain. Mereka menyatakan bahawa, terdapat hadis-hadis yang melarang catatan dan penulisan hadis dilakukan seperti hadis yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri berikut:
1)
(7435)
حَدَّثَنَا هَدَّابُ بْنُ خَالِدٍ الْأَزْدِيُّ، حَدَّثَنَا هَمَّامٌ، عَنْ زَيْدِ
بْنِ أَسْلَمَ، عَنْ عَطَاءِ بْنِ يَسَارٍ، عَنْ
أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ، أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ قَالَ: " لَا تَكْتُبُوا عَنِّي، وَمَنْ
كَتَبَ عَنِّي غَيْرَ الْقُرْآنِ فَلْيَمْحُهُ، وَحَدِّثُوا عَنِّي، وَلَا حَرَجَ،
وَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ - قَالَ هَمَّامٌ: أَحْسِبُهُ قَالَ - مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ "[5]
Riwayat
Muslim
Maksudnya:
“Janganlah kamu menulis apa pun dariku. Sesiapa yang
pernah menulis daripada diriku selain al-Qur`an, maka hapuskanlah, beritahulah
kamu daripadaku (hadisku), jangan merumitkan, dan sesiapa yang berdusta ke
atasku dengan sengaja, maka dia telah menempahkan tempatnya dari neraka”
Hadis ini mungkin menjadi tanda tanya
di kalangan masyarakat tentang kebolehan meriwayatkan hadis-hadis Rasulullah
saw.[6]
Bahkan, golongan anti-hadis telah menjadikan hadis ini sebagai hujah terhadap
larangan penulisan hadis-hadis baginda. Lantaran itu, perbahasan dari hadis
yang kedua dalam kitab Mastika Hadis diatas bakal merungkaikan isu tersebut.
Penulis bakal menghuraikan empat perkara penting berdasarkan hadis tersebut, iaitu:
a. Penulisan hadis telah dilakukan oleh para sahabat pada
zaman Rasulullah saw.
b. Bagaimana
kaedah memahami hadis-hadis mukhtalif atau musykil seperti
hadis-hadis mengenai penulisan hadis ini.
c.
Segala
yang disampaikan oleh baginda adalah benar.
d.
Anggapan
berlakunya kesilapan pada penyampaian baginda adalah anggapan yang tidak
berasas.
Perkara pertama: Penulisan hadis
telah dilakukan oleh para sahabat pada zaman Rasulullah saw.
Sebahagian besar para sahabat Rasulullah saw menerima
hadis-hadis baginda dengan menghafaznya di dada masing-masing. Dalam pada
itu, terdapat juga di kalangan para sahabat yang pandai menulis,
lantas mereka menulis hadis tersebut setelah menerimanya. Walau
bagaimanapun, kebanyakan para sahabat menganggap kaedah menghafaz hadis-hadis itu adalah
lebih teguh dari menulisnya dan lebih terkawal dari kesilapan. Ini kerana, tabiat
semula jadi orang-orang Arab mempunyai ingatan yang kuat dan bersifat adil hasil dari kekuatan
iman mereka.[7]
Terdapat banyak hadis yang diriwayatkan oleh sebilangan besar para sahabat dalam mensabitkan berlakunya penulisan hadis Rasulullah saw pada zaman baginda. Secara ringkasnya, penulisan hadis telah bermula pada zaman Rasulullah saw. Di antara penulis hadis pada zaman Rasulullah saw adalah seperti Abdullah bin Umar bin al-`As yang menulis hadis di dalam lembaran yang disebut sebagai al-Sahifah al-Sadiqah, `Ali bin Abi Talib di dalam Sahifah `Ali Bin Abi Talib (Sahifah kecil), Sa`ad bin `Ubadah dalam Sahifah Sa`ad bin Ubadah dan Abu Bakar al-Siddiq dalam Sahifah Abu Bakar al-Siddiq.[8]
Terdapat banyak hadis yang diriwayatkan oleh sebilangan besar para sahabat dalam mensabitkan berlakunya penulisan hadis Rasulullah saw pada zaman baginda. Secara ringkasnya, penulisan hadis telah bermula pada zaman Rasulullah saw. Di antara penulis hadis pada zaman Rasulullah saw adalah seperti Abdullah bin Umar bin al-`As yang menulis hadis di dalam lembaran yang disebut sebagai al-Sahifah al-Sadiqah, `Ali bin Abi Talib di dalam Sahifah `Ali Bin Abi Talib (Sahifah kecil), Sa`ad bin `Ubadah dalam Sahifah Sa`ad bin Ubadah dan Abu Bakar al-Siddiq dalam Sahifah Abu Bakar al-Siddiq.[8]
Terdapat juga pendapat yang
menyebut mengenai sahifah-sahifah yang lain seperti sahifah Jabir, sahifah Samrah bin
Jundub dan sahifah Abdullah bin Abi Aufa, tetapi tidak ada bukti yang kukuh dapat dijumpai. Walau bagaimanapun, tulisan tersebut jelas didengari datang dari mereka dan ditulis pada zaman Rasulullah saw dan selepas kewafatannya.[9]
Kesungguhan para sahabat dalam
menulis hadis Rasulullah saw sangat menyerlah pada zaman baginda dan selepas kewafatan baginda. Ini dapat dilihat melalui
beberapa contoh berikut:
1. Terdapat para sahabat yang menggalakkan murid-murid mereka menulis hadis Rasulullah saw,
kemudian diminta untuk menghafalnya dengan sempurna. Setelah kukuh hafalan mereka maka diminta pula
agar menghapuskannya supaya tidak terlalu bersandar pada tulisan tersebut.
2. Sebahagian para sahabat menulis dan mengirimkan
hadis kepada sahabat yang lain. Sebagai contoh,
a.
Usaid bin
Hudhair al-Ansari menulis beberapa hadis dan keputusan-keputusan abu Bakar,
Umar dan Uthman untuk dikirimkan kepada Marwan bin Hakam.
b.
Jabir bin
Samurah menulis beberapa hadis Rasulullah saw dan mengirimkannya kepada Amir
bin Saad bin Abi Waqqas atas permintaannya.
3. Terdapat para sahabat yang menganjurkan murid-murid mereka menuliskan
hadis-hadis baginda dan membukukannya.
4. Membiasakan penulisan
hadis dalam lembaran-lembaran dan nukilan-nukilan antara para guru dan
muridnya.[10]
Perkara kedua: Bagaimana
kaedah memahami hadis-hadis mukhtalif atau musykil seperti
hadis-hadis mengenai penulisan hadis ini.
Kegagalan memahami situasi, tujuan dan maqasid
larangan penulisan hadis Rasulullah saw mewujudkan salah faham dan salah tafsir
terhadap hadis berkenaan. Terdapat banyak hadis-hadis baginda yang dilihat
secara zahir seolah-olah bertentangan antara satu sama lain. Tetapi, sebenarnya
ia langsung tidak bertentangan. Perkara ini perlu diteliti dan diperiksa dengan
adil. Adalah sesuatu yang tidak adil jika ditohmahkan sesuatu perkara itu tanpa
usul periksa terlebih dahulu.
Analoginya
sangat mudah, seorang bapa pernah melarang anak lelakinya menaiki motosikal tetapi
pada masa yang sama terdapat suruhan terhadap anaknya membawa motosikal.
Bukankah secara zahirnya, kenyataan itu dilihat bertentangan? Namun jika
diteliti, itu merupakan proses didikan seorang bapa terhadap anaknya dalam
tempoh dan situasi yang berbeza. Setelah diteliti, rupa-rupanya bapa tersebut melarang anaknya
dari mendekati motosikal, menaikinya, malah membawanya kerana usianya ketika itu masih
kecil. Sebaliknya, menyuruhnya pula membawa motosikal yang sama kerana setelah itu
usianya sudah pun dewasa.
Begitulah
halnya dalam ucapan-ucapan Rasulullah saw, situasi, tujuan dan maqasid
sesuatu hadis perlu dikaji terlebih dahulu, barulah penggunaannya tepat dengan
kehendak baginda. Ibnu Qutaibah dalam kitabnya, Ta`wil Mukhtalif Hadis
telah membahaskan dengan panjang lebar mengenai isu ini. Di antara sebab kenapa
sesuatu hadis itu, dilihat mukhtalif atau musykil ialah hadis
tersebut telah di nasakhkan, perlu kepada tarjih (dari segi sanad, matan
& internal hadis), konteks yang berbeza, hukum khusus untuk orang tertentu, anjuran
yang lebih disukai (mustahibbun), perlu kepada analisis semantik, perlu
kepada analisis uslub, perlu kepada analisis majaz dan memberi makna khusus terhadap ayat-ayat al-Qur`an yang mujmal.[11]
Kerana itulah, larangan Rasulullah
saw terhadap para sahabat dari menulis hadis-hadis baginda bukanlah larangan secara mutlak terhadap
semua sahabat. Tetapi larangan tersebut mempunyai sebab-sebab tertentu. Para ulama` telah menjelaskan sebab-sebab larangan tersebut seperti berikut:
1. Larangan
khas ketika waktu turunnya al-Qur`an kerana dibimbangi bercampur aduk dengan
hadis-hadis baginda.[12]
2. Larangan khas mengenai penulisan hadis dalam
satu lembaran yang sama.[13]
3. Larangan khas penulisan hadis dalam lembaran
wahyu yang biasanya disimpan di rumah Nabi saw.
4. Larangan khas bagi orang yang terselamat dari
lupa dan dipercayai kekuatan ingatannya menghafaz apa yang didengarnya.[14]
5. Hadis larangan
tersebut telah dimansuhkan oleh hadis-hadis yang membenarkan penulisan hadis
dilakukan.[15]
Ini adalah salah satu metodologi Rasulullah dalam mendidik para
sahabatnya.
Berdasarkan hadis yang
diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar di atas, beliau sendiri telah menemui
Rasulullah saw untuk mendapatkan kepastian mengenai kemusykilannya mengenai
larangan dari orang-orang Quraisy. Namun ternyata, Rasulullah telah membenarkan
beliau menulis hadis-hadis baginda. Kebenaran
ini adalah satu bentuk keizinan khusus yang diberikan kepada Abdullah bin Umar
kerana beliau mampu membaca dengan baik, dan mempunyai kemahiran menulis dalam
bahasa Syria dan bahasa Arab, sedangkan pada masa tersebut sahabat-sahabat yang
lain dalam keadaan buta huruf. Kebanyakan daripada mereka tidak pandai menulis
kecuali seorang atau dua orang sahaja. Keizinan ini menurut Imam Nawawi adalah
disebabkan oleh aspek keadaan dan individu.[16]
Namun setelah banyak wahyu yang
turun dan ramai yang telah menghafalnya serta terpelihara dari percampurannya dengan
hadis, maka Rasulullah saw menggalakkannya[17]
dengan sabda-sabda baginda seperti berikut:
1)
(190) أخبرنا محمدٌ: حدثنا يحيى:
حدثنا لوين: حدثنا عبدُالحميدِ بنُ سليمانَ، عن عبدِاللهِ بنِ المُثنى، عن عمِّه
ثمامةَ بنِ أنسٍ، عن أنسِ بنِ مالكٍ قالَ:قالَ رسولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم: «قيِّدوا العلمَ بالكتابِ»[18]
Maksudnya:
Daripada Anas bin Malik telah berkata, sabda
Rasulullah saw: “ Ikatlah ilmu itu dengan menulis”
2)
عَنْ رَافِعِ بْنِ خَدِيجٍ، قَالَ: خَرَجَ عَلَيْنَا
رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: «تَحَدَّثُوا
وَلْيَتَبَوَّأْ مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مَقْعَدَهُ مِنْ جَهَنَّمَ» ، قُلْتُ: يَا
رَسُولَ اللهِ إِنَّا نَسْمَعُ مِنْكَ أَشْيَاءَ فَنَكْتُبُهَا، فَقَالَ: «اكْتُبُوا وَلَا حَرَجَ»[19]
Maksudnya:
Daripada Rafi` bin Khadij telah berkata, Rasulullah
saw telah keluar kepada kami maka dan berkata: “Sampaikanlah (hadis) dan
(ketahuilah) ia telah menempah tempat dalam neraka bagi sesiapa yang berdusta.” Maka aku
bertanya, Wahai rasulullah saw, bolehkah kami mendengar sesuatu daripada engkau
kemudian kami menulisnya? maka baginda bersabda: “Tulislah dan jangan menjadi
susah”
Selain itu, terdapat banyak hadis-hadis sahih seperti yang
disebutkan di atas berbanding dengan hadis-hadis yang melarang penulisannya.
Bahkan hadis-hadis yang melarang penulisan tersebut tidak ada satu pun yang
sahih kecuali sebuah hadis sahaja iaitu melalui riwayat Abu Said al-Khudri di
atas. Hadis tersebut berstatus sahih dan marfu` menurut Imam Muslim tetapi
berstatus daif di sisi Imam al-Bukhari[20]
kerana mauquf kepada Abu Said al-Khudri.[21]
Perkara ketiga: Segala
yang disampaikan oleh baginda adalah benar.
Setiap muslim wajib beriman dan meyakini bahawa semua
rasul bertugas menyampaikan ajaran dan risalah yang diamanahkan kepada mereka
untuk seluruh umatnya. Allah swt telah mengutuskan rasul bagi menyampaikan
ajaran yang benar[22]
seperti mana dalam firman Allah swt berikut:
إِنَّا أَرْسَلْناكَ بِالْحَقِّ
…(24)
Maksudnya
Sesungguhnya kami mengutusmu dengan (agama)
yang benar..(24)
Surah Fatir: 24
Para rasul yang
diutuskan oleh Allah swt bermula dari nabi Adam a.s hinggalah kepada rasul yang
terakhir, iaitu Nabi Muhammad saw memiliki empat sifat yang wajib bagi mereka. Empat sifat
wajib tersebut adalah al-Siddiq (benar), al-Amanah (amanah), al-Tabligh
(menyampaikan) dan al-Fatanah (bijaksana).[23]
Dengan itu, sudah menjadi sifat
Rasulullah saw menyampaikan agama Islam itu dengan kebenaran. Bahkan Allah swt sendiri
mengakui bahawa segala yang diperkatakan oleh Rasulullah saw mengenai agama
Islam itu (sama ada Al-Quran atau hadis) semuanya wahyu Allah swt yang telah
diwahyukan kepada baginda. Firman Allah swt:
1)
وَمَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَى (3) إِنْ هُوَ إِلَّا
وَحْيٌ يُوحَى (4)
Maksudnya
Dan ia tidak memperkatakan
(sesuatu Yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya
sendiri (3). Segala Yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis)
tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadaNya (4).
Surah al-Najmi: 24
2)
قالُوا يَا
وَيْلَنا مَنْ بَعَثَنا مِنْ مَرْقَدِنا هَذَا مَا وَعَدَ الرَّحْمنُ وَصَدَقَ
الْمُرْسَلُونَ (52)
Maksudnya
(Pada ketika itu) Orang-orang yang
tidak percayakan hidup semula berkata: Aduhai celakalah kami! Siapakah yang
membangkitkan kami dari kubur tempat tidur kami? (lalu dikatakan kepada
mereka): Inilah dia yang telah dijanjikan oleh Allah yang maha pemurah dan
benarlah berita yang disampaikan oleh rasul-rasul.
Surah Yasin: 52
Di dalam hadis Rasulullah saw,
baginda juga menegaskan bahawa baginda tidak mengatakan sesuatu yang dusta melainkan
ianya benar belaka.
1990 - حَدَّثَنَا عَبَّاسُ بْنُ
مُحَمَّدٍ الدُّورِيُّ البَغْدَادِيُّ قَالَ: حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ الحَسَنِ
قَالَ: أَخْبَرَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ المُبَارَكِ، عَنْ أُسَامَةَ بْنِ زَيْدٍ،
عَنْ سَعِيدٍ المَقْبُرِيِّ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ
قَالَ: قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّكَ تُدَاعِبُنَا، قَالَ: «إِنِّي لَا
أَقُولُ إِلَّا حَقًّا»[24]
Maksudnya
Daripada Abu Hurairah ra telah berkata,
wahai Rasulullah saw, sesungguhnya engkau saling bergurau senda dengan kami,
maka sabda Rasulullah saw: “ Sesungguhnya aku tidak berkata melainkan
yang benar.”
Perkara keempat: Anggapan berlakunya
kesilapan pada penyampaian baginda adalah anggapan yang tidak berasas.
Terdapat dakwaan
bahawa Rasulullah saw merupakan manusia
biasa dan tidak dapat lari daripada salah dan silap. Memang benar Rasulullah
saw pernah terlupa dan tersilap dalam menunaikan solat empat rakaat dengan hanya menunaikan
dua rakaat sahaja. Baginda telah melaksanakan solat bersama sahabat-sahabat
baginda dan salah seorangnya dikenali sebagai Zul Yadain (yang mempunyai dua tangan). Peristiwa ini diriwayatkan
oleh Abu Hurairah ra. [25]
Begitu juga kesilapan yang berlaku dalam beberapa peristiwa yang lain. Namun,
lupa dan kesilapan yang berlaku dalam semua peristiwa tersebut adalah lupa yang
diperintahkan oleh Allah swt. Sebagai contoh, kesilapan yang berlaku dalam
solat yang disebutkan tadi, adalah untuk mengajar para sahabat dan umat Islam
cara melakukan sujud sahwi. Ini kerana, pelaksanaan sujud sahwi memerlukan
kepada terlupa terlebih dahulu, kemudian barulah sujud sahwi itu boleh
dilakukan.
Perkara-perkara
yang melibatkan urusan agama adalah merupakan perkara yang dijamin oleh Allah
swt daripada sebarang kesilapan dan kejahilan. Ini disebabkan oleh, semua
perkara tersebut mendapat pimpinan dan wahyu daripada Allah swt seperti mana firmannya
dalam surah al-Najmi ayat 24 di atas. Namun begitu, perkara-perkara yang
melibatkan urusan keduniaan, tidak termasuk dalam jaminan ini. Oleh sebab itulah,
Rasulullah saw menyatakan bahawa baginda mungkin tidak tahu dalam perkara-perkara keduniaan orang lain sebagaimana sabda baginda:
(2363) عَنْ أَنَسٍ، أَنَّ النَّبِيَّ
صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «أَنْتُمْ أَعْلَمُ بِأَمْرِ دُنْيَاكُمْ»[26]
Maksudnya
Daripada Anas bin Malik ra, bahawa Nabi Muhammad saw telah bersabda:
“ Kamu lebih mengetahui tentang urusan keduniaan kamu”
Kenyataan ini tidak langsung mencacatkan atau merendahkan martabat baginda sebagai seorang rasul. Bahkan, kerasulan baginda sebagai pembawa hidayah dan risalah suci tetap terpelihara dengan jaminan-jaminan yang disebutkan sebelum ini. Justeru itu, jelaslah bahawa kebenaran dari agama Allah yang dibawa
oleh Rasulullah saw ini, terpelihara dari sebarang kesalahan dan kesilapan.
Sebagai umat Islam yang beriman kepada Allah dan rasulnya, wajiblah berpegang
teguh dengan jaminan Allah swt terhadap rasul-rasulnya dan risalahnya yang
suci.
[1] Abu Daud, Sulaiman Bin As`ash. Sunan Abu
Dawud, Maktabah al-Asriyyah, Beirut. Hadis ini juga diriwayatkan di dalam kitab-kitab hadis
yang lain seperti Musnaf Ibnu Abi Syaibah, Musnad Ahmad, Sunan al-Darimi,
Mu`jam al-Kabil li Tabrani, Mustadrak ala Sahihain lil Hakim, al-Madkhal ila
al-Sunan al-Kubra dan Jami` Bayan al-Ilmi wa Fadlihi.
[2] Al-Bukhari, Abu Abdullah Muhammad Bin Ismail. 1999. Sahih al-Bukhari.
Dar al-Salam, Riyadh. m/s:24
[3] ibid. m/s:24-25
[4] ibid. m/s:25
[5] al-Nawawi, Yahya bin Syaraf. 1999. al-Minhaj Syarah Sahih
Muslim. Dar al-Ma`rifah. Beirut,
Lubnan. m/s: 12. Hadis ini dinilai marfu` oleh Imam Muslim tetapi dinilai
Mauquf kepada Abu Sa`id al-Khudri di sisi Imam al-Bukhari.
[6] Nuruddin `Itr. 1997. Manhaju Nuqad fi Ulumi al-Hadis.
Dar al-Fikr al-Mu`asir. Beirut, Lubnan; Apa yang dikehendaki oleh hadis
tersebut adalah larangan periwayatan hadis di kalangan kumpulan sahabat seperti
Abu Hurairah dan Zaid bin Thabit. Ini kerana, menurut Muhammad Abu Laith. 2011.
Ulum al-Hadis Asiliha wa Ma`asiruha. Darul Syakir, Kuala
Lumpur.m/s:60; Abu Hurairah adalah seorang sahabat yang dilarang oleh
Rasulullah saw dari menulis hadis baginda, namun setelah kewafatan baginda,
beliau telah meminta para pelajarnya menulis hadis-hadis daripadanya. Kemudian
beliau memelihara tulisan tersebut bersamanya daripada sebarang perubahan.
[7]Shalabī, Aḥmad. 1982. At-Tarbīyah al-Islīāmīyah; Nizāmuhā, Falsafātuhā,
Tārīkhuhā. Qāherah: Maktabah an Nahḍah al-Miṣrīyyah; orang yang pandai
menulis dan membaca pada zaman tersebut hanya sekitar enam belas orang sahaja.
[8] Ibid. m/s:45-47
[9] Ibid. m/s:47
[10] Muhammad bin Mathar al-Zahrani. 2012. Tadwin al-Sunah
al-Nabawiyyah Nashaatuhu wa Tahtawwuruhu, Min al-Qarn al-Awwal ila Nihayah
al-Qarn al- Tasi` al-Hijri. terj. Muhammad Rum et al. Cet. Darul Haq.
Jakarta. m/s;84-89
[11] Umar M. Noor, 1977. Takwil Hadis: Memahami Hadis Musykil
Menurut Ibnu Qutaibah. Tihani Cetak Sdn Bhd. Selangor.
[12] Menurut Nota 2, Muhammad bin Mathar al-Zahrani. op cit.
m/s77; Ini pendapat Ibnu Qutaibah, al-Ramahurmuzi al-Khathabi dan lain-lain.
[13] Al-Mubarakfuri, Muhammad Abdul Rahman bin Abdul Rahim. 1995. Tuhfatul
Ahwazi. Dar al-Fikr. Beirut, Lubnan dan Menurut Nota 2, ibid.
m/s77. Ini merupakan
pendapat al-Khattabi, al-Khatib al-Baghdadi dan lain-lain.
[14] Menurut Nota 2, Muhammad bin Mathar al-Zahrani. op cit.
m/s77. Hal ini disebutkan al-Khatib dalam Taqyid al-Ilmi.
[15] Ibid. m/s:77 , lihat juga Ibnu Hajar, Abu Fadhl Ahmad
bin `Ali Shihabuddin al-`Asqalani. 2010. Fathul bari Syarah Sahih
al-Bukhari (kitab Ilmu). Terj. Pustaka Imam asy-Syafi`i. Jakarta.
m/s:333; Larangan ini sudah dimansukhkan oleh hadis yang lain setelah
kebimbangan percampuran antara hadis dan al-Qur`an tidak ada lagi. Kaedah
penggabungan ini dilihat lebih kuat di sisi Ibnu Hajar.
[16] al-Nawawi, Yahya bin Syaraf. Op cit. m/s:12
[17] Ibid. m/s:12
[18] Al-Mukhallis, Muhammad bin
Abd Rahman. 2008. Al-Mukhallisiyyat wa Ajza` Ukhra li Abi Tahir Mukhallis.
Wizarah al-Awqaf wa al-Syu`un al-Islamiyyah. Qatar. m/s:340
[19] Al-Tabrani, Sulaiman bin Ahmad. 1994. Mu`jam al-Kabir.
Maktabah Ibnu Taymiyyah. Kaherah. m/s: 276
[20]Ibnu Hajar, Abu Fadhl Ahmad bin `Ali Shihabuddin al-`Asqalani. 2010.
Fathul bari Syarah Sahih al-Bukhari (kitab Ilmu). Terj. Pustaka
Imam asy-Syafi`i. Jakarta; Ada juga pendapat bahawa hadis ini terdapat `illat
(cacat) dan dikatakan hadis ini berasal dari perkataan Abu Sa`id, bukan sabda
Rasulullah saw. Demikianlah yang dikatakan oleh Imam Bukhari dan perawi yang
lainnya.
[21] Muhammad bin Mathar al-Zahrani. op cit. m/s: 76-77
[22] Ab. Latif Muda dan Rosmawati Ali @ Mat Zin. 2007. Perbahasan
Akidah Islam. Pustaka Salam. Kuala Lumpur. m/s:410-411
[23] Ibid. m/s: 426-427
[24] Al-Tirmidhi, Abu Isa
Muhammad bin Isa bin surah bin Musa.1975. Jami` al-Tirmidhi. Syarikah
Maktabah wa Matba`ah al-Babi al-Habli. m/s:357
[25] Malik Bin Anas. 1992. Al-Muwatta`. Dar al-Hadis.
Kaherah.
[26] Muslim bin Hajjaj abu al-Hassan al-Qusyairi al-Naisaburi. Sahih
Muslim.Dar al-Ihya` al-Turath al-`Arabi. Beirut. m/s:1838

No comments:
Post a Comment