الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ
Maksudnya:Dia lah Yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu)-untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu Yang lebih baik amalnya; dan ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun,(bagi orang-orang Yang bertaubat)
Ouh..begitu rupanya, patutlah kita sentiasa diuji, dan sebab itulah kita perlu sentiasa bergantung harap kepada Allah swt dengan berbekalkan doa kepadanya. Justeru itulah juga, hidup kita ini seolah-olah perlu sentiasa berdoa kepadanya tanpa henti. Hampir semua perkara yang kita lakukan perlu berdoa kepadanya. Bahkan solat yang kita dirikan itu juga adalah doa yang paling agung disisi Allah swt. Firman Allah swt dalam surah al-Baqarah ayat ke-45:
وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ ۚ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى الْخَاشِعِينَ
Maksudnya: dan mintalah pertolongan (kepada Allah) Dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan Sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk
Sembahyang itu sendiri adalah merupakan doa kepada Allah swt dan kerana itulah terdapat tafsiran yang menterjemahkan perkataan al-Solah di dalam ayat ini sebagai doa kepada Allah swt. Berdasarkan ayat ini, Allah swt menggesa kepada hambanya agar meminta bantuan daripada Allah swt dengan penuh kesabaran dan sentiasa berdoa kepadanya.
Begitulah talian hayat yang Allah berikan kepada hamba-hambanya yang dikasihi, kerana itulah kadangkala Allah anugerahkan kepada kita sesuatu seperti pokok kaktus di tengah padang pasir yang panas lagi kontang. Namun, usah terlalu cepat melatah dan marah dengan pemberian Allah swt. Berbaik sangkalah kepadanya, kerana disebalik pohon kaktus yang berduri itu terdapat kandungan air yang berguna untuk si pengembara seperti kita. Malahan kelak, tumbuh pula bunga yang cantik menghiasi kaktus sebagai hadiah dari Allah atas kesabaran kita itu.
Ingatlah wahai pengembara......disebalik kesedihan dan kesengsaraan yang menimpa, pasti terselit keindahan dan kemanisan yang bakal menjelma... bersabarlah yer..sesungguhnya janji Allah itu pasti..

No comments:
Post a Comment