Kitab Al-Ṣiyām (Suālun wa Jawābun)
Karangan asal oleh Dr. Rasheed Saad al-Alimi
Murajaah bersama Sheikh al-Muhaddis Badrun Abdullah al-Badr
Diterjemahkan oleh Abu Muhammad Khairil Izuan al-Kangsari
Perbahasan Kelima
{HUKUM HAKAM PUASA}
52 - Adakah boleh mengqiaskan tertinggalnya puasa dengan tertinggalnya solat atas alasan tertidur?
Tidak dapat dinafikan lagi perkara tersebut sepertimana hadis Rasulullah saw:
من نام عن صلاة أو نسيها فليصلها إذا ذكرها
"Sesiapa yang tertidur atau terlupa daripada mengerjakan solat maka hendaklah ia mengerjakannya jika mengingatinya". -Muttafaqun Alaih. Ini kerana lambat disebabkan tertidur atau terlupa memang dimaafkan dan menunaikan ibadah tersebut selepas waktunya dikira sama dari segi ganjaran dan pahalanya sepertimana menunaikan pada waktunya.
53 - Apakah hukum dari segi syara' bagi orang yang yang berbuka pada siang hari Ramadhan tanpa sebarang keuzuran?
Berbuka pada siang hari Ramadhan tanpa sebarang keuzuran merupakan dosa besar. Wajib kepada pelaku tersebut beristighfar dan bertaubat kepada Allah swt.
54 - Adakah wajib keatasnya melaksanakan puasa yang ditinggalkannya?
Wajib ke atasnya meneruskan puasa yang ditinggalkannya pada hari tersebut dalam keadaan dia berdosa (kerana berbuka). Ini kerana, setelah disyariatkan puasa padanya, maka wajib dia melaksanakannya kerana ia termasuk dalam perkara yang difardukan, oleh itu wajib dia melaksanakannya sepertimana (kewajipan) puasa nazar.
55 - Adakah perlu qada' bagi orang yang berbuka sehari daripada bulan Ramadhan?
Secara asasnya, orang yang meninggalkan puasa secara sengaja tanpa sebarang keuzuran, yang paling tepatnya adalah dia tidak wajib qada'. Ini kerana qada' tersebut tidak memberi faedah sesuatu pun padanya, sebab qada' itu tidak diterima oleh Allah swt. Sesungguhnya dari segi kaedah, setiap ibadah itu terikat dengan waktu yang tertentu, apabila terlewat daripada waktunya tanpa sebarang keuzuran maka tidak diterima perlaksanaannya lagi.
56 - Adakah wajib bagi orang kafir setelah pengislamannya, mengqada'kan segala ibadah yang telah terluput?
Tidak wajib melakukan demikian itu, ini berdasarkan firman Allah swt:
قُلْ لِلَّذِينَ كَفَرُوا إِنْ يَنْتَهُوا يُغْفَرْ لَهُمْ مَا قَدْ سَلَفَ وَإِنْ يَعُودُوا فَقَدْ مَضَتْ سُنَّتُ الْأَوَّلِينَ
Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang kafir itu, jika mereka berhenti (dari kekufurannya), nescaya akan diampunkan dosa mereka yang telah lalu, dan jika mereka kembali lagi (ingkar maka Kami akan menyeksa mereka), kerana sesungguhnya telah berlakulah kebinasaan orang-orang (yang kufur ingkar) dahulu kala.
-Surah al-Anfal: 38.
57 - Bagaimanakah puasa bagi orang yang panjang waktu siangnya atau panjang waktu malamnya?
Negara yang malam atau siangnya lebih panjang, wajib bagi orang-orang Islamnya berpuasa walaupun siangnya panjang, selagi mana dapat dibezakan malamnya dari siangnya. Adapun bagi negara yang tidak boleh membezakannya, maka hendaklah mereka berpuasa mengikut negara-negara terdekat mereka yang boleh membezakan malam dan siangnya.
bersambung
No comments:
Post a Comment