"Bandingan kelebihan orang alim ke atas orang yang abid umpama bandingan kelebihan bintang purnama dimalam hari ke atas seluruh bintang di langit" (Hadis Hassan riwayat Abu Daud)


Wednesday, 15 June 2016

PUASA : Persoalan & Jawapan (Siri 16)

Kitab Al-Ṣiyām (Suālun wa Jawābun)
 
Karangan asal oleh: Dr. Rasheed Saad al-Alimi
Murajaah bersama: Sheikh al-Muhaddis Badrun Abdullah al-Badr
Diterjemahkan oleh: Abu Muhammad Khairil Izuan al-Kangsari
 
Perbahasan Ketujuh
 
{MEMASUKI BULAN (RAMADHAN ATAU SYAWAL)}
 
Perkara yang berkaitan dengan penglihatan anak bulan (bulan sabit)
 
72 - Bagaimana dapat ditentukan masuknya bulan Ramadhan?
Ia dapat ditentukan samada dengan melihat anak bulan atau pun dengan sempurnanya bilangan bulan Sya'ban iaitu 30 hari. Ini adalah berdasarkan sabda Rasulullah saw:
إذا رأيتموه فصوموا وإذا رأيتموه فأفطروا فإن غم عليكم فأكملوا عدة شعبان ثلاثين
"Apabila kamu melihatnya (anak bulan) maka berpuasalah, dan apabila melihatnya berlebaranlah. Jika anak bulan itu tidak nampak, genapkanlah bulan sya’ban menjadi 30 hari"
-Riwayat _Bukhari_
 
73 - Bagaimana kita boleh mendapat tahu masuknya bulan (Ramadhan) tersebut?
Ia dapat disahkan melalui orang yang melihat anak bulan itu. Setelah mereka melihatnya, maka wajiblah dilaksanakan rukyah tersebut, hendaklah berpuasa jika anak bulan itu anak bulan Ramadhan dan hendaklah berlebaran (iaitu menyambut hari raya) jika anak bulan itu anak bulan syawal.
 
74 - Apakah syarat-syarat yang wajib dipenuhi kepada orang yang melihat anak bulan?
Disyaratkan pada orang tersebut boleh dipercayai bahawa dia benar-benar melihatnya, seorang yang adil dalam agamanya dan seorang yang benar dalam kata-katanya.
 
75 - Apakah hukum mengajak orang untuk melihat anak bulan?
Mengajak (orang) untuk melihat anak bulan, iaitu anak bulan Ramadhan atau anak bulan Syawal adalah satu perkara biasa yang dilakukan pada zaman Sahabat ra berdasarkan kepada hadis Rasulullah saw daripada Ibnu Umar ra yang menyebut :
تراءى الناس الهلال فأخبرت رسول الله صلى الله عليه وسلم أني رأيته فصامه وأمر الناس بصيامه
“Orang ramai mengintai anak bulan (bulan sabit), lalu aku khabarkan kepada Rasulullah (SAW) bahawa aku (Ibnu Umar) benar-benar melihatnya. Lalu baginda berpuasa dan memerintahkan orang ramai agar berpuasa.”
-HR Abu Daud, al-Hakim dan Ibn Hibban.
 
76 - Dimanakah boleh dilihat anak bulan dengan jelas pada awal kejadiannya?
(Boleh dilihat dengan jelas) di padang pasir ketika hilangnya cahaya (matahari), atau diatas puncak bukit.
 
bersambung

Sunday, 12 June 2016

PUASA : Persoalan & Jawapan (Siri 15)

Kitab Al-Ṣiyām (Suālun wa Jawābun)
 
Karangan asal oleh Dr. Rasheed Saad al-Alimi
Murajaah bersama Sheikh al-Muhaddis Badrun Abdullah al-Badr
Diterjemahkan oleh Abu Muhammad Khairil Izuan al-Kangsari
 
Perbahasan Keenam
 
{ORANG YANG DIWAJIBKAN BERPUASA}
 
68 - Apakah yang perlu dilakukan bagi orang yang meninggalkan puasa yang telah lalu (kerana peperiksaan atau) seumpama perkara tersebut ?
Mereka yang melakukan kesilapan ini (dengan meninggalkan puasa), pertamanya perlulah bertaubat dan wajib keatasnya melakukan qada'.
 
69 - Adakah boleh bagi orang yang bekerja itu berbuka puasa, ketika berlakunya kesukaran dalam kerja mereka?
Langkah awal bagi mereka, mohonlah agar Allah swt membantu mereka dan berpuasalah. Maka apabila tiba di pertengahan siang didapati mereka dalam keadaan kepenatan dan dahaga sehingga memudaratkan mereka, maka dibolehkan mereka berbuka sekadar keperluan.
 
70 - Adakah boleh dilakukan persetujuan bersama majikan mengenai waktu bekerja bagi melaksanakan ibadah puasa?
Ya, ini sangat baik, sampai ketikanya mereka bersetuju pekerja tersebut bekerja pada sebelah malam atau dikurangkan masa bekerja sehinggalah dapat melakukan kerja dan puasa tersebut dengan selesa.
 
71 - Adakah ahli-ahli bomba (yang bekerja memadam api) boleh berbuka puasa pada bulan Ramadhan?
Jika tugasan tersebut memerlukan mereka berbuka bagi menyelamatkan nyawa manusia, maka mereka boleh berbuat demikian, tetapi mereka perlu qada' semula selepas Ramadhan.
 
bersambung

Thursday, 9 June 2016

PUASA : Persoalan & Jawapan (Siri 14)

Kitab Al-Ṣiyām (Suālun wa Jawābun)

Karangan asal oleh Dr. Rasheed Saad al-Alimi
Murajaah bersama Sheikh al-Muhaddis Badrun Abdullah al-Badr

Diterjemahkan oleh Abu Muhammad Khairil Izuan al-Kangsari

Perbahasan Keenam

{ORANG YANG DIWAJIBKAN BERPUASA}

63 - Adakah baligh itu boleh diukur  dengan tahun tertentu?
Umur baligh tidak boleh diukur dengan tahun tertentu. Walau bagaimanapun sesiapa yang telah sempurna umurnya 15 tahun, samada lelaki atau perempuan, ia telah dikira baligh. Ini kerana, terdapat juga, wanita yang telah keluar darah haid sebelum mencapai umur 15 tahun, maka dia telah dikira baligh.

64 - Apakah yang dimaksudkan dengan berupaya dalam menunaikan ibadah puasa?
(Berupaya disitu kerana) terdapat orang sakit yang tertegah (iaitu tidak mampu) dari melaksanakan ibadah puasa.

65 - Adakah bermukim itu maknanya berlawanan dengan musafir?
Ya, bermukim itu bermakna orang yang bermustautin di sesuatu tempat, maka menjadi kewajipan padanya untuk berpuasa. Adapun bermusafir, walau kemana sahaja arah tujunya, dia tidak wajib berpuasa.

66 - Jika seseorang itu masuk Islam di pertengahan bulan Ramadhan, apakah yang menjadi kewajipannya?
Apabila seseorang itu masuk islam pada waktu tersebut, maka wajiblah dia menahan diri (iaitu berpuasa) tetapi tidak perlu qada' (puasa yang telah lalu), kerana dia telah termasuk dalam golongan ahli yang berkewajipan (melaksanakan perintah Allah swt).

67 - Apakah hukum orang yang berbuka kerana menghadapi subjek-subjek sukar di musim peperiksaan yang berlaku dalam bulan Ramahan?
Berbuka pada bulan Ramadhan dengan sebab ujian tidak dibenarkan. Ini kerana ia boleh melakukan ulangkaji pada waktu malam dan tidak ada keperluan mendesak untuk dia berbuka.

bersambung


Wednesday, 8 June 2016

PUASA : Persoalan & Jawapan (Siri 13)

 Kitab Al-Ṣiyām (Suālun wa Jawābun)

Karangan asal oleh Dr. Rasheed Saad al-Alimi
Murajaah bersama Sheikh al-Muhaddis Badrun Abdullah al-Badr

Diterjemahkan oleh Abu Muhammad Khairil Izuan al-Kangsari

Perbahasan Keenam

{ORANG YANG DIWAJIBKAN BERPUASA}

58 - Siapakah yang diwajibkan berpuasa pada bulan Ramadhan?
Puasa adalah wajib ditunaikan ke atas setiap muslim, lelaki atau wanita, yang telah baligh, yang beraqal, yang berupaya (menunaikan), yang bermukim dan tiada sebarang tegahan untuk melaksanakannya.

59 - Apakah yang dimaksudkan dengan tiada sebarang tegahan?
Iaitu (tiada tegahan dari) wanita yang mengalami haid dan nifas yang tertegah daripada melaksanakan ibadah seperti solat, puasa dan ibadah-ibadah lain.

60 - Apakah ukuran adanya aqal pada manusia?
Ukurannya dapat membezakan diantara sesuatu. Apabila manusia tidak mempunyai aqal, maka dia tidak perlu berpuasa, solat dan haji.

61 - Adakah orang tua yang uzur wajib keatasnya puasa atau kaffarah?
Dia tidak wajib berpuasa dan tidak wajib memberi makan (sebagai kaffarah) kerana tidak ada taklifan terhadapnya lagi.

62 - Bagaimana terjadinya baligh?
Baligh terjadi setelah berlakunya salah satu dari 3 perkara berikut:
1. Seseorang itu mencapai umur 15 tahun.
2. Tumbuhnya bulu ari-ari iaitu disekitar qubul (kemaluan hadapan).
3. Keluarnya mani dengan rasa kelazatan, samada dengan berlakunya mimpi atau secara sedar.
Dan ditambah bagi wanita itu perkara yang ke-4 iaitu keluarnya darah haid.

bersambung


Tuesday, 7 June 2016

PUASA : Persoalan & Jawapan (Siri 12)

Kitab Al-Ṣiyām (Suālun wa Jawābun)

Karangan asal oleh Dr. Rasheed Saad al-Alimi
Murajaah bersama Sheikh al-Muhaddis Badrun Abdullah al-Badr
Diterjemahkan oleh Abu Muhammad Khairil Izuan al-Kangsari

Perbahasan Kelima

{HUKUM HAKAM PUASA}

52 - Adakah boleh mengqiaskan tertinggalnya puasa dengan tertinggalnya solat atas alasan tertidur?
Tidak dapat dinafikan lagi perkara tersebut sepertimana hadis Rasulullah saw:
من نام عن صلاة أو نسيها فليصلها إذا ذكرها
"Sesiapa yang tertidur atau terlupa daripada mengerjakan solat maka hendaklah ia mengerjakannya jika mengingatinya". -Muttafaqun Alaih. Ini kerana lambat disebabkan tertidur atau terlupa memang dimaafkan dan menunaikan ibadah tersebut selepas waktunya dikira sama dari segi ganjaran dan pahalanya sepertimana menunaikan pada waktunya.

53 - Apakah hukum dari segi syara' bagi orang yang yang berbuka pada siang hari Ramadhan tanpa sebarang keuzuran?
Berbuka pada siang hari Ramadhan tanpa sebarang keuzuran merupakan dosa besar. Wajib kepada pelaku tersebut beristighfar dan bertaubat kepada Allah swt.

54 - Adakah wajib keatasnya melaksanakan puasa yang ditinggalkannya?
Wajib ke atasnya meneruskan puasa yang ditinggalkannya pada hari tersebut dalam keadaan dia berdosa (kerana berbuka). Ini kerana, setelah disyariatkan puasa padanya, maka wajib dia melaksanakannya kerana ia termasuk dalam perkara yang difardukan, oleh itu wajib dia melaksanakannya sepertimana (kewajipan) puasa nazar.

55 - Adakah perlu qada' bagi orang yang berbuka sehari daripada bulan Ramadhan?
Secara asasnya, orang yang meninggalkan puasa secara sengaja tanpa sebarang keuzuran, yang paling tepatnya adalah dia tidak wajib qada'. Ini kerana qada' tersebut tidak memberi faedah sesuatu pun padanya, sebab qada' itu tidak diterima oleh Allah swt. Sesungguhnya dari segi kaedah, setiap ibadah itu terikat dengan waktu yang tertentu, apabila terlewat daripada waktunya tanpa sebarang keuzuran maka tidak diterima perlaksanaannya lagi.

56 - Adakah wajib bagi orang kafir setelah pengislamannya, mengqada'kan segala ibadah yang telah terluput?
Tidak wajib melakukan demikian itu, ini berdasarkan firman Allah swt:
قُلْ لِلَّذِينَ كَفَرُوا إِنْ يَنْتَهُوا يُغْفَرْ لَهُمْ مَا قَدْ سَلَفَ وَإِنْ يَعُودُوا فَقَدْ مَضَتْ سُنَّتُ الْأَوَّلِينَ
Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang kafir itu, jika mereka berhenti (dari kekufurannya), nescaya akan diampunkan dosa mereka yang telah lalu, dan jika mereka kembali lagi (ingkar maka Kami akan menyeksa mereka), kerana sesungguhnya telah berlakulah kebinasaan orang-orang (yang kufur ingkar) dahulu kala.
-Surah al-Anfal: 38.

57 - Bagaimanakah puasa bagi orang yang panjang waktu siangnya atau panjang waktu malamnya?
Negara yang malam atau siangnya lebih panjang, wajib bagi orang-orang Islamnya berpuasa walaupun siangnya panjang, selagi mana dapat dibezakan malamnya dari siangnya. Adapun bagi negara yang tidak boleh membezakannya, maka hendaklah mereka berpuasa mengikut negara-negara terdekat mereka yang boleh membezakan malam dan siangnya.

bersambung


Monday, 6 June 2016

PUASA : Persoalan & Jawapan (Siri 11)


 Kitab Al-Ṣiyām (Suālun wa Jawābun)

Karangan asal oleh Dr. Rasheed Saad al-Alimi
Murajaah bersama Sheikh al-Muhaddis Badrun Abdullah al-Badr
Diterjemahkan oleh Abu Muhammad Khairil Izuan al-Kangsari
 
Perbahasan Kelima
 
{HUKUM HAKAM PUASA}
 
46 - Apakah puasa yang wajib dilaksanakan oleh orang Islam?
Puasa (yang wajib dilaksanakan adalah puasa) pada bulan Ramadhan sahaja, kerana (berdasarkan hadis) dari Talhah bin Ubaidillah r.a:
أن أعرابيا جاء إلى رسول الله عليه الصلاة والسلام ثائر الرأس فقال يا رسول الله أخبرني ماذا فرض الله علي من الصيام؟فقال رسول الله: (شهر رمضان إلا أن تطوع)
Bahawa seorang Arab Badwi telah datang kepada Rasulullah saw dengan rambut yang tidak bersikat lalu berkata, "Ya, Rasulullah beritahulah kepadaku puasa yang Allah fardhukan kepadaku!”. jawab baginda “Puasa pada bulan Ramadhan kecuali kalau engkau mahu puasa tatawwu' (puasa sunat).”
 
47 - Adakah terdapat jenis-jenis fajar yang berkaitan dengan puasa?
Ya, terdapat Fajar Sadik yang berkaitan dengan puasa, ia dikenali juga sebagai fajar kedua. Manakala fajar pertama dikenali sebagai Fajar Kazib, ia tidak berkaitan dengan puasa.
 
48 - Bagaimana hendak membezakan diantara fajar yang pertama dengan fajar yang kedua?
Fajar pertama dengan fajar yang kedua dapat dibezakan melalui 3 cara:
 
Pertama: Fajar yang pertama memanjang (di atas langit) dari timur ke barat, manakala fajar kedua memanjang dari utara hingga ke selatan iaitu terbentang di kaki langit (puncak gunung).
 
Kedua: Fajar yang pertama akan malap selepas timbulnya sinar cahaya, adapun fajar yang kedua tidak akan menjadi malap selepas adanya cahaya tersebut bahkan semakin bercahaya sehingga terbitnya matahari.
 
Ketiga: Fajar yang pertama kelihatan malap diantaranya dengan kaki langit (puncak gunung), bukanlah fajar ini yang terpakai dalam hukum syara', ia tidak dikira masuk waktu subuh dan tidak dilarang makan bagi orang yang berpuasa. Manakala fajar yang kedua pula bersambung cerahnya dikaki langit, dan fajar inilah yang dimaksudkan oleh syara'.
 
49 - Apakah hukum orang yang menafikan kefardhuan puasa pada bulan Ramadhan?
Hukum orang yang menafikan kefardhuan puasa adalah kufur, kecuali orang yang masih mentah dan tinggal dinegara jauh serta tidak mengenali syariat Islam. Hendaklah diperkenalkan kepadanya, jika dia masih berkeras setelah diberikan keterangan, maka dia dikira kufur.
 
50 - Apakah pandangan terhadap orang meninggalkan puasa dan mengambil ringan tentang kefardhuannya?
Sebahagian ulama' berpandangan bahawa orang tersebut menjadi kafir dan murtad. Namun,yang lebih tepat ia tidaklah menjadi kafir dan murtad, sebaliknya dia menjadi fasiq dan berada dalam keadaan yang merbahaya.
 
51 - Sesiapa yang meninggalkan puasa secara sengaja (bukan kerana sakit atau musafir) bertahun-tahun yang lalu, adakah dia wajib mengqada'kannya?
Dia tidak wajib mengqada'kan puasa yang ditinggalkan, tetapi wajib bertaubat dan menyesal serta memperbanyakkan puasa sunat.
 
*Ulama' berbeza pendapat dalam masalah ini, majoriti ulama' mengatakan ia wajib qadha' puasa selama mana yang ia tinggalkan dengan sengaja. Ada juga yang mengatakan tidak perlu qadha kerana ia membatalkan puasa tanpa alasan yang dibenarkan.
 
bersambung

PUASA : Persoalan & Jawapan (Siri 10)

Kitab Al-Ṣiyām (Suālun wa Jawābun)
 
Karangan asal oleh Dr. Rasheed Saad al-Alimi
Murajaah bersama Sheikh al-Muhaddis Badrun Abdullah al-Badr
Diterjemahkan oleh Abu Muhammad Khairil Izuan al-Kangsari
 
Perbahasan Kelima
 
{HUKUM HAKAM PUASA}
 
41 - Apakah ta'rif puasa dari segi bahasa?
Puasa dari segi bahasa bermaksud: (perbuatan) menahan. Ini adalah berdasarkan firman Allah swt:
فَإِمَّا تَرَيِنَّ مِنَ الْبَشَرِ أَحَدًا فَقُولِي إِنِّي نَذَرْتُ لِلرَّحْمَٰنِ صَوْمًا فَلَنْ أُكَلِّمَ الْيَوْمَ إِنْسِيًّا
"Kemudian kalau engkau melihat seseorang manusia, maka katakanlah: Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana (Allah) Ar-Rahman; (setelah aku menyatakan yang demikian) maka aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun dari kalangan manusia pada hari ini". Perkataan نَذَرْتُ "aku bernazar" disini bermaksud menahan diri dari berkata-kata.
 
42 - Apakah ta'rif puasa dari segi syara'?
Bermaksud mengabdikan diri hanya untuk Allah swt dengan menahan diri dari perkara yang membatalkan puasa dengan niat mendekatkan diri kepada Allah swt dari terbit fajar sehingga tenggelam matahari.
 
43 - Berapakah pembahagian puasa itu?
Puasa terbahagi kepada dua bahagian:
1/ Puasa yang difardukan (Puasa Wajib): iaitu samada disebabkan oleh Kaffarah dan Nazar atau pun tanpa sebab seperti puasa pada bulan Ramadhan. Ini kerana kewajipan (puasa Ramadhan) adalah disyariatkan secara asal tanpa ada sebab yang berlaku pada seseorang itu.
2/ Puasa yang tidak difardukan (Puasa Sunat): iaitu samada ia ditentukan atau pun secara mutlak (tidak ditentukan)
-Contoh puasa yang ditentukan: ialah berpuasa pada hari Isnin & Khamis.
-Contoh puasa secara mutlak: ialah berpuasa pada mana-mana hari yang dibolehkan berdasarkan sunnah.
 
44 - Apakah hukum berpuasa di bulan Ramadhan?
Puasa pada bulan Ramadhan merupakan salah satu rukun daripada rukun Islam. Firman Allah swt:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa".


Kemudian, daripada Ibnu Umar r.anhuma telah berkata: Sabda Rasulullah saw:
بـني الإسـلام على خـمـس : شـهـادة أن لا إلـه إلا الله وأن محمد رسول الله ، وإقامة الصلاة ، وإيـتـاء الـزكـاة ، وحـج البيت ، وصـوم رمضان
“Islam didirikan diatas lima perkara yaitu bersaksi bahwa tiada sesembahan yang berhak disembah secara benar kecuali Allah dan Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan shalat, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji ke baitullah dan berpuasa pada bulan ramadhan”.
- Diriwayatkan oleh al-Bukhari.
Maka umat Islam bersepakat diatas kewajipannya.
 
45 - Apakah rukun puasa tersebut?
Rukun puasa itu satu, iaitu mengabdikan diri hanya untuk Allah swt dengan menahan diri dari perkara yang membatalkan puasa dengan niat mendekatkan diri kepada Allah dari terbit fajar sehingga tenggelam matahari.
* Ulama' berbeza pendapat mengenai pembahagian rukun puasa. Masyhurnya dalam mazhab syaf'i, rukun puasa ada dua, pertama niat puasa, kedua menahan diri dari perkara yang membatalkan puasa¹.
 
¹al- Masailu al-Fiqhiyyah al-Masyhurah fi al-Mazhiba al-Syafi'i. Cet. Kedua. 2010. M/s: 135-136.
 
bersambung