"Bandingan kelebihan orang alim ke atas orang yang abid umpama bandingan kelebihan bintang purnama dimalam hari ke atas seluruh bintang di langit" (Hadis Hassan riwayat Abu Daud)


Wednesday, 15 June 2016

PUASA : Persoalan & Jawapan (Siri 16)

Kitab Al-Ṣiyām (Suālun wa Jawābun)
 
Karangan asal oleh: Dr. Rasheed Saad al-Alimi
Murajaah bersama: Sheikh al-Muhaddis Badrun Abdullah al-Badr
Diterjemahkan oleh: Abu Muhammad Khairil Izuan al-Kangsari
 
Perbahasan Ketujuh
 
{MEMASUKI BULAN (RAMADHAN ATAU SYAWAL)}
 
Perkara yang berkaitan dengan penglihatan anak bulan (bulan sabit)
 
72 - Bagaimana dapat ditentukan masuknya bulan Ramadhan?
Ia dapat ditentukan samada dengan melihat anak bulan atau pun dengan sempurnanya bilangan bulan Sya'ban iaitu 30 hari. Ini adalah berdasarkan sabda Rasulullah saw:
إذا رأيتموه فصوموا وإذا رأيتموه فأفطروا فإن غم عليكم فأكملوا عدة شعبان ثلاثين
"Apabila kamu melihatnya (anak bulan) maka berpuasalah, dan apabila melihatnya berlebaranlah. Jika anak bulan itu tidak nampak, genapkanlah bulan sya’ban menjadi 30 hari"
-Riwayat _Bukhari_
 
73 - Bagaimana kita boleh mendapat tahu masuknya bulan (Ramadhan) tersebut?
Ia dapat disahkan melalui orang yang melihat anak bulan itu. Setelah mereka melihatnya, maka wajiblah dilaksanakan rukyah tersebut, hendaklah berpuasa jika anak bulan itu anak bulan Ramadhan dan hendaklah berlebaran (iaitu menyambut hari raya) jika anak bulan itu anak bulan syawal.
 
74 - Apakah syarat-syarat yang wajib dipenuhi kepada orang yang melihat anak bulan?
Disyaratkan pada orang tersebut boleh dipercayai bahawa dia benar-benar melihatnya, seorang yang adil dalam agamanya dan seorang yang benar dalam kata-katanya.
 
75 - Apakah hukum mengajak orang untuk melihat anak bulan?
Mengajak (orang) untuk melihat anak bulan, iaitu anak bulan Ramadhan atau anak bulan Syawal adalah satu perkara biasa yang dilakukan pada zaman Sahabat ra berdasarkan kepada hadis Rasulullah saw daripada Ibnu Umar ra yang menyebut :
تراءى الناس الهلال فأخبرت رسول الله صلى الله عليه وسلم أني رأيته فصامه وأمر الناس بصيامه
“Orang ramai mengintai anak bulan (bulan sabit), lalu aku khabarkan kepada Rasulullah (SAW) bahawa aku (Ibnu Umar) benar-benar melihatnya. Lalu baginda berpuasa dan memerintahkan orang ramai agar berpuasa.”
-HR Abu Daud, al-Hakim dan Ibn Hibban.
 
76 - Dimanakah boleh dilihat anak bulan dengan jelas pada awal kejadiannya?
(Boleh dilihat dengan jelas) di padang pasir ketika hilangnya cahaya (matahari), atau diatas puncak bukit.
 
bersambung

No comments:

Post a Comment