"Bandingan kelebihan orang alim ke atas orang yang abid umpama bandingan kelebihan bintang purnama dimalam hari ke atas seluruh bintang di langit" (Hadis Hassan riwayat Abu Daud)


Monday, 6 June 2016

PUASA : Persoalan & Jawapan (Siri 10)

Kitab Al-Ṣiyām (Suālun wa Jawābun)
 
Karangan asal oleh Dr. Rasheed Saad al-Alimi
Murajaah bersama Sheikh al-Muhaddis Badrun Abdullah al-Badr
Diterjemahkan oleh Abu Muhammad Khairil Izuan al-Kangsari
 
Perbahasan Kelima
 
{HUKUM HAKAM PUASA}
 
41 - Apakah ta'rif puasa dari segi bahasa?
Puasa dari segi bahasa bermaksud: (perbuatan) menahan. Ini adalah berdasarkan firman Allah swt:
فَإِمَّا تَرَيِنَّ مِنَ الْبَشَرِ أَحَدًا فَقُولِي إِنِّي نَذَرْتُ لِلرَّحْمَٰنِ صَوْمًا فَلَنْ أُكَلِّمَ الْيَوْمَ إِنْسِيًّا
"Kemudian kalau engkau melihat seseorang manusia, maka katakanlah: Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana (Allah) Ar-Rahman; (setelah aku menyatakan yang demikian) maka aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun dari kalangan manusia pada hari ini". Perkataan نَذَرْتُ "aku bernazar" disini bermaksud menahan diri dari berkata-kata.
 
42 - Apakah ta'rif puasa dari segi syara'?
Bermaksud mengabdikan diri hanya untuk Allah swt dengan menahan diri dari perkara yang membatalkan puasa dengan niat mendekatkan diri kepada Allah swt dari terbit fajar sehingga tenggelam matahari.
 
43 - Berapakah pembahagian puasa itu?
Puasa terbahagi kepada dua bahagian:
1/ Puasa yang difardukan (Puasa Wajib): iaitu samada disebabkan oleh Kaffarah dan Nazar atau pun tanpa sebab seperti puasa pada bulan Ramadhan. Ini kerana kewajipan (puasa Ramadhan) adalah disyariatkan secara asal tanpa ada sebab yang berlaku pada seseorang itu.
2/ Puasa yang tidak difardukan (Puasa Sunat): iaitu samada ia ditentukan atau pun secara mutlak (tidak ditentukan)
-Contoh puasa yang ditentukan: ialah berpuasa pada hari Isnin & Khamis.
-Contoh puasa secara mutlak: ialah berpuasa pada mana-mana hari yang dibolehkan berdasarkan sunnah.
 
44 - Apakah hukum berpuasa di bulan Ramadhan?
Puasa pada bulan Ramadhan merupakan salah satu rukun daripada rukun Islam. Firman Allah swt:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa".


Kemudian, daripada Ibnu Umar r.anhuma telah berkata: Sabda Rasulullah saw:
بـني الإسـلام على خـمـس : شـهـادة أن لا إلـه إلا الله وأن محمد رسول الله ، وإقامة الصلاة ، وإيـتـاء الـزكـاة ، وحـج البيت ، وصـوم رمضان
“Islam didirikan diatas lima perkara yaitu bersaksi bahwa tiada sesembahan yang berhak disembah secara benar kecuali Allah dan Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan shalat, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji ke baitullah dan berpuasa pada bulan ramadhan”.
- Diriwayatkan oleh al-Bukhari.
Maka umat Islam bersepakat diatas kewajipannya.
 
45 - Apakah rukun puasa tersebut?
Rukun puasa itu satu, iaitu mengabdikan diri hanya untuk Allah swt dengan menahan diri dari perkara yang membatalkan puasa dengan niat mendekatkan diri kepada Allah dari terbit fajar sehingga tenggelam matahari.
* Ulama' berbeza pendapat mengenai pembahagian rukun puasa. Masyhurnya dalam mazhab syaf'i, rukun puasa ada dua, pertama niat puasa, kedua menahan diri dari perkara yang membatalkan puasa¹.
 
¹al- Masailu al-Fiqhiyyah al-Masyhurah fi al-Mazhiba al-Syafi'i. Cet. Kedua. 2010. M/s: 135-136.
 
bersambung

No comments:

Post a Comment