"Bandingan kelebihan orang alim ke atas orang yang abid umpama bandingan kelebihan bintang purnama dimalam hari ke atas seluruh bintang di langit" (Hadis Hassan riwayat Abu Daud)


Monday, 6 June 2016

PUASA : Persoalan & Jawapan (Siri 11)


 Kitab Al-Ṣiyām (Suālun wa Jawābun)

Karangan asal oleh Dr. Rasheed Saad al-Alimi
Murajaah bersama Sheikh al-Muhaddis Badrun Abdullah al-Badr
Diterjemahkan oleh Abu Muhammad Khairil Izuan al-Kangsari
 
Perbahasan Kelima
 
{HUKUM HAKAM PUASA}
 
46 - Apakah puasa yang wajib dilaksanakan oleh orang Islam?
Puasa (yang wajib dilaksanakan adalah puasa) pada bulan Ramadhan sahaja, kerana (berdasarkan hadis) dari Talhah bin Ubaidillah r.a:
أن أعرابيا جاء إلى رسول الله عليه الصلاة والسلام ثائر الرأس فقال يا رسول الله أخبرني ماذا فرض الله علي من الصيام؟فقال رسول الله: (شهر رمضان إلا أن تطوع)
Bahawa seorang Arab Badwi telah datang kepada Rasulullah saw dengan rambut yang tidak bersikat lalu berkata, "Ya, Rasulullah beritahulah kepadaku puasa yang Allah fardhukan kepadaku!”. jawab baginda “Puasa pada bulan Ramadhan kecuali kalau engkau mahu puasa tatawwu' (puasa sunat).”
 
47 - Adakah terdapat jenis-jenis fajar yang berkaitan dengan puasa?
Ya, terdapat Fajar Sadik yang berkaitan dengan puasa, ia dikenali juga sebagai fajar kedua. Manakala fajar pertama dikenali sebagai Fajar Kazib, ia tidak berkaitan dengan puasa.
 
48 - Bagaimana hendak membezakan diantara fajar yang pertama dengan fajar yang kedua?
Fajar pertama dengan fajar yang kedua dapat dibezakan melalui 3 cara:
 
Pertama: Fajar yang pertama memanjang (di atas langit) dari timur ke barat, manakala fajar kedua memanjang dari utara hingga ke selatan iaitu terbentang di kaki langit (puncak gunung).
 
Kedua: Fajar yang pertama akan malap selepas timbulnya sinar cahaya, adapun fajar yang kedua tidak akan menjadi malap selepas adanya cahaya tersebut bahkan semakin bercahaya sehingga terbitnya matahari.
 
Ketiga: Fajar yang pertama kelihatan malap diantaranya dengan kaki langit (puncak gunung), bukanlah fajar ini yang terpakai dalam hukum syara', ia tidak dikira masuk waktu subuh dan tidak dilarang makan bagi orang yang berpuasa. Manakala fajar yang kedua pula bersambung cerahnya dikaki langit, dan fajar inilah yang dimaksudkan oleh syara'.
 
49 - Apakah hukum orang yang menafikan kefardhuan puasa pada bulan Ramadhan?
Hukum orang yang menafikan kefardhuan puasa adalah kufur, kecuali orang yang masih mentah dan tinggal dinegara jauh serta tidak mengenali syariat Islam. Hendaklah diperkenalkan kepadanya, jika dia masih berkeras setelah diberikan keterangan, maka dia dikira kufur.
 
50 - Apakah pandangan terhadap orang meninggalkan puasa dan mengambil ringan tentang kefardhuannya?
Sebahagian ulama' berpandangan bahawa orang tersebut menjadi kafir dan murtad. Namun,yang lebih tepat ia tidaklah menjadi kafir dan murtad, sebaliknya dia menjadi fasiq dan berada dalam keadaan yang merbahaya.
 
51 - Sesiapa yang meninggalkan puasa secara sengaja (bukan kerana sakit atau musafir) bertahun-tahun yang lalu, adakah dia wajib mengqada'kannya?
Dia tidak wajib mengqada'kan puasa yang ditinggalkan, tetapi wajib bertaubat dan menyesal serta memperbanyakkan puasa sunat.
 
*Ulama' berbeza pendapat dalam masalah ini, majoriti ulama' mengatakan ia wajib qadha' puasa selama mana yang ia tinggalkan dengan sengaja. Ada juga yang mengatakan tidak perlu qadha kerana ia membatalkan puasa tanpa alasan yang dibenarkan.
 
bersambung

No comments:

Post a Comment